TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau merampas lebih 32 kilogram dadah dipercayai jenis methamphetamine di perairan Inderasabah semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, semasa rondaan OpSejahtera, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot laju dalam keadaan bergelap dan mencurigakan pada jam lebih kurang 11.30 malam.
“Semasa dihampiri, bot terbabit bertindak memecut laju cuba melarikan diri menuju kearah muara sungai…
“Ketika proses kejar-mengejar, juragan bot bertindak membuang sesuatu keluar dari bot…
“Usaha bagi menghentikan bot dan suspek gagal apabila tekong bot bertindak memecut laju ke arah kawasan paya bakau dan perairan cetek bagi meloloskan diri daripada ditahan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau berkata pencarian di kawasan persekitaran menemukan sebuah beg berisi 32 paket bungkusan dengan label teh cina ‘Guan Ying Wang’ yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat satu kilogram setiap satu paket.
“Kesemua hasil rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan selanjutnya.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM 1.76 juta dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya…
Shahrizan berkata, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan sindiket atau dalang yang terlibat dengan kegiatan ini.





