Maritim Malaysia Sita 312 Botol Minuman Keras Bernilai Lebih RM50,000

Maritim Malaysia Sita 312 Botol Minuman Keras Bernilai Lebih RM50,000

0
SHARE
Maritim
Suspek dan rampasan yang ditahan pihak Maritim Malaysia ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau telah menggagalkan cubaan membawa 312 botol minuman keras tanpa sebarang permit kastam, petang Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, Kapal Peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Sejahtera / Ops Cegah PATI Selatan dan Ops Tiris berjaya mengesan sebuah bot kargo yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di peraraian berhampiran Jeti Wallace Bay, Pulau Sebatik.

“Setelah berjaya menahan bot berkenaan, anggota geledah mendapati seorang juragan lelaki tempatan berusia 35 tahun bersama seorang pembantu lelaki juga warga tempatan berumur 32 tahun berada di dalam bot tersebut.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan telah menemukan 26 kotak minuman keras pelbagai label dengan jumlah 312 botol disembunyikan di dalam guni dan disorokkan di bawah barangan runcit.

“Pemeriksaan dokumentasi juga mendapati kesemua minuman keras yang dibawa tidak disenaraikan di dalam senarai barangan dibawa.

“Juragan bersama pembantu serta muatan dan bot kargo terbabit ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan rampasan termasuk bot beserta enjin dianggarkan bernilai lebih RM50 ribu.

Pihaknya juga percaya modus operandi yang digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa adalah dengan menyembunyikan barangan larangan import di dalam muatan yang dibenarkan bagi mengelakkan dikesan.

“Proses penghantaran juga hanya dilakukan pada kuantiti yang sederhana supaya tidak dikesan oleh pihak berkuasa.

“Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan. Oleh yang demikian, Maritim Malaysia akan sentiasa mempertingkatkan keberadaan aset di lokasi-lokasi titik panas bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang maritim,” katanya.