KOTA KINABALU, SABAH – Seorang bayi perempuan dalam sebuah kotak dibuang di hadapan Masjid Almawaddah, Taman Seri Gaya, sini, pada malam Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah, seorang imam masjid telah membuat penemuan itu.
“Berdasarkan nota yang ditinggalkan bersama bayi yang cukup sifat itu, ia dilahirkan pada Selasa lalu (31 Oktober).
“Individu yang meninggalkan bayi tersebut memohon maaf kerana tidak dapat menjaga bayinya atas faktor ketidakmampuan serta meminta supaya bayi tersebut dihantar ke rumah anak yatim,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Mohd Zaidi berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendedahkan dan membuang kanak-kanak yang umurnya kurang daripada dua belas tahun oleh ibubapa atau penjaganya.
“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Hatikah Ahmad di talian 0168337246,” katanya.