Maritim Malaysia Tingkatkan Penguatkuasaan Banteras PATI, Penyeludupan Menjelang Hari Natal

Maritim Malaysia Tingkatkan Penguatkuasaan Banteras PATI, Penyeludupan Menjelang Hari Natal

0
SHARE
Che engku suhaimi
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan terus tingkatkan kesiapsiagaan aset dan rondaan di perairan negeri Sabah.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, kesiapsiagaan aset dan rondaan bagi membanteras ketirisan jenayah rentas sempadan dan penyeludupan barang terkawal akan terus dipertingkatkan.

“Menjelang musim perayaan Hari Natal dan Tahun Baharu tidak lama lagi, Maritim Malaysia sentiasa memastikan sempadan perairan negara khususnya perairan negeri Sabah terus dikawal ketat dengan aset-aset maritim agar kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penyeludupan barang terkawal dapat dibanteras.

“Maritim Malaysia juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dalam beberapa siri operasi bersepadu diseluruh perairan negeri Sabah,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Katanya, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah merekodkan 50 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, 48 kes di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan 13 kes di bawah Akta Kastam 1967 dari Januari hingga November 2023.

“Sebanyak 316 jumlah tangkapan pelbagai kesalahan di laut telah direkodkan oleh Maritim Negeri Sabah bermula Januari hingga awal Disember tahun ini dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 7,580,000,” tambahnya.