TONGOD, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah memberi jaminan tapak perkampungan Kiandongo 6 kilometer dari Pekan Tongod tidak akan jatuh ke tangan syarikat luar.
“Kita akan pastikan penempatan ini diwartakan sebagai sebuah perkampungan tradisi secara sah”, katanya merasmikan Majlis Ramah Mesra di Dewan Masyarakat kampung itu baru-baru ini.
Jaminan itu dibuat berikutan kerisauan penduduk yang dibayangi kemungkin penempatan mereka diterokai syarikat swasta yang bercadang melebarkan ladang sawit di kampung berkenaan.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) telah mengumumkan peruntukan lebih RM110 ribu untuk pembaikan dewan masyarakat dan tabung untuk 9 pertubuhan dan persatuan di kampung tersebut.
Kampung Kiandongo meliputi kawasan kira-kira 600 ekar termasuk tanah dipohon penduduk untuk pertanian, namun masih berstatus reseve (tanah simpan) kerajaan kerana belum memperolehi geran tanah.
Apa yang penting katanya, tapak perkampungan melibatkan rumah-rumah penduduk bangunan kerajaan termasuk sekolah dan balai ibadat harus diwartakan terebih dahulu…
Katanya, beliau akan membawa isu tanah Kampung Kiandongo dalam mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) daerah Tongod sebelum hujung tahun ini.
Majlis Ramah Mesra itu dianjurkan hasil gabungan 9 buah pertubuhan dan persatuan di kampung berkenaan yang turut dimeriahkan lebih 300 penduduk.
Pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tongod, Hashim Tokyo Omar dan Pegawai Belia dan Sukan Tongid, Patrick Suhaimi turut hadir di majlis tersebut.





