Masuk Pejabat Tanpa Suntikan Vaksin COVID-19 Punca Tiga Pekerja CNN Dipecat

Masuk Pejabat Tanpa Suntikan Vaksin COVID-19 Punca Tiga Pekerja CNN Dipecat

0
SHARE

WASHINGTON – Syarikat media terbesar di Amerika Syarikat (AS) iaitu Cable News Network (CNN) bertindak memecat TIGA (3) pekerjanya hanya kerana melanggar polisi COVID-19 dengan memasuki pejabat tanpa mendapatkan suntikan vaksin.

Memetik sumber media AS, Presiden CNN iaitu Jeff Zucker dalam satu memo dalaman yang diberikan kepada kakitangan terbabit melalui emel berkata, seminggu yang lalu syarikat itu menyedari tiga pekerja yang datang bekerja tanpa menerima sebarang suntikan vaksin COVID-19 dan menyebabkan ketiga-tiga mereka sudah diberhentikan kerja.

“Biar saya jelaskan – kami mempunyai dasar toleransi sifar mengenai hal ini,” katanya dalam memo yang diciap oleh wartawan CNN, Oliver Darcy.

Memo itu tidak menyatakan nama, jawatan atau lokasi pejabat pekerja yang dipecat.

CNN yang dipetik laporan AFP bergantung kepada sistem berasaskan kejujuran yang memerlukan pekerja mendapatkan suntikan tetapi tidak menuntut mereka menunjukkan bukti.

Bagaimanapun Zucker berkata, ia mungkin berubah pada masa yang akan datang.

Presiden CNN iaitu Jeff Zucker…

Inokulasi adalah wajib bagi sesiapa yang melaporkan di lapangan, bekerja dengan pekerja lain atau memasuki pejabat, katanya dilaporkan dalam memo itu.

Pada Mei lalu, Kerajaan Persekutuan AS memutuskan, adalah sah bagi majikan untuk menghendaki kakitangan secara fizikal memasuki tempat kerja untuk mendapatkan vaksin.

Syarikat teknologi termasuk Facebook, Google dan Microsoft berkata, mereka akan meminta pekerja mendapatkan vaksin sebelum kembali ke pejabat di AS.

Syarikat itu adalah antara beberapa majikan utama AS yang baru-baru ini menyemak semula polisi virus mereka, mandat vaksin atau tarikh kembali ke pejabat berikutan varian Delta yang cepat menular mendorong peningkatan kes COVID-19.

Sementara itu, Zucker dalam satu kenyataan kepada kakitangannya memaklumkan CNN akan menangguhkan tarikh kembali semula pejabat pada 7 September dan berkemungkinan juga sehingga bulan Oktober serta menjelaskan bahawa kira-kira satu pertiga daripada kakitangan bilik berita AS pada masa ini menggunakan pejabat secara sukarela.