Masyarakat Diingatkan Untuk Sentiasa Jaga Kebersihan Elak Risiko Penyakit Denggi

Masyarakat Diingatkan Untuk Sentiasa Jaga Kebersihan Elak Risiko Penyakit Denggi

0
SHARE
Gambar Hiasan...

KENINGAU, SABAH – Masyarakat setempat diingatkan untuk tidak mengabaikan aspek kebersihan di kawasan komuniti masing-masing kerana ia kemungkinan membawa risiko penyakit yang merbahaya, kata Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik.

Katanya, walaupun masih memerangi penularan wabak pandemik COVID-19, masyarakat perlu diingatkan bahawa penyakit Denggi yang dibawa nyamuk Aedes turut membawa ancaman besar malah turut mengancam nyawa.

“Kita mungkin sedikit lupa dengan ancaman Denggi memandangkan kita terlalu berwaspada dengan pandemik COVID-19 pada ketika ini…

“Perlu diingatkan kawasan tempat kita tinggal terdedah dengan penyakit-penyakit ini sekiranya kurang kesedaran.

“Tahun lepas, negeri Sabah mencatatkan 1,763 kes Denggi dan daripada jumlah itu, lima kematian direkodkan. Angka itu mungkin kecil berbanding COVID-19, ianya sesuatu yang perlu kita bimbang dan jangan diambil ringan.

“Perlu diingatkan penyakit Denggi ini adalah penyakit yang sangat berbahaya kerana ia juga membawa kepada risiko kematian, justeru saya percaya program perangi Aedes ini satu langkah yang tepat untuk dilaksanakan di setiap komuniti, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gotong Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sabah Keningau 2022 anjuran KRT Daerah Keningau dan JPKK Mukim Bunga Raya di Kampung Bunga Raya, baru-baru ini.