Masyarakat Peladang Perlu Peka Dan Libatkan Diri Dalam Program PINTAR

Masyarakat Peladang Perlu Peka Dan Libatkan Diri Dalam Program PINTAR

0
SHARE
Shahelmey ketika mengiringi Ketua Menteri menyampaikan replika Lesen Memandu Percuma kepada masyarakat Putatan

PUTATAN: Masyarakat Peladang khususnya di daerah Putatan harus peka dan perlu melibatkan diri dalam Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR).

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, ia perlu kerana sektor agromakanan kini berdepan dengan pelbagai risiko dan cabaran di peringkat global mahupun domestik. 

 

“Ia termasuklah cabaran produktiviti dan inovasi pertanian, kos input pertanian, sumber tanah dan air yang terhad, perubahan iklim dan ancaman bencana alam, serangan penyakit dan perosak seterusnya tahap adaptasi teknologi dan mekanisasi yang rendah dan macam-macam lagi.

“Justeru melalui konsep pelaksanaan dan pembudayaan inovasi dan re-engineering dalam semua aspek rantaian nilai sektor agromakanan akan diberikan penekanan yang komprehensif oleh pihak kerajaan.

“Saya menyeru ahli-ahli peladang terutamanya golongan muda agar dapat melibatkan diri disamping menambah sumber pendapatan, ia juga dapat menyumbang kepada keterjaminan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Ramah Mesra Pemimpin Bersama Ahli Peladang Daerah Putatan di Tapak Mobile Food Kiosk Putatan pada Ahad lalu.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, segala cabaran perlu ditangani secara inklusif agar sistem makanan negara khususnya negeri Sabah lebih berdaya tahan dan mampan terutama sebagai persediaan menangani apa jua krisis semasa atau yang mungkin berlaku pada masa akan datang.

“Pertubuhan Peladang sebagai satu entiti yang menjadi pemegang taruh ahli-ahli peladang khususnya bagi daerah Putatan, perlu bersama-sama dalam mendepani cabaran ini.

“Ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas seperti kerjasama pihak swasta secara perkongsian pintar dan meningkatkan usaha mentransformasikan pertanian ke arah digitalisasi yang lebih moden,” tegasnya.

Tambah beliau, adalah menjadi harapannya untuk melihat Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan mampu menguasai pasaran dan sektor perniagaan yang lebih besar merentasi semua subsektor agromakanan sehingga ke peringkat yang lebih jauh.