Maut Ketika Berteduh Hujan Di Bawah Jejambat

Maut Ketika Berteduh Hujan Di Bawah Jejambat

0
SHARE

PULAU PINANG – Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta ketika berteduh hujan di bawah jejambat susur keluar Jambatan Pulau Pinang di KM139 Lebuh Raya PLUS arah selatan, 6 pagi hari ini.

Memetik laporan akhbar Harian Metro, dalam kejadian itu, Abdul Fadhil Ab Razak, 29, maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal wanita, R P Maheswari, 55, cedera.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kedua-dua mangsa dari arah Seberang Jaya menghala ke Kawasan Perindustrian Prai.

Beliau berkata, mangsa berhenti berteduh di jejambat susur keluar di lokasi kejadian kerana hujan lebat.

Katanya, tidak lama selepas itu, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 67 tahun terbabas dan melanggar kedua-dua mangsa.

“Maheswari cedera dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) manakala Abdul Fadhil meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat dihantar ke HSJ untuk bedah siasat. Pemandu kereta ditahan dan diambil keterangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.