SHAH ALAM: Satu mayat wanita ditemukan terapung dalam longkang besar berhampiran Perumahan Dillenia, Seksyen U11, Bukit Bandaraya, di sini pada Jumaat, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu jam 6.30 petang daripada orang awam.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati si mati merupakan seorang perempuan, namun identiti belum dapat dikenal pasti.
“Si mati ketika dijumpai hanya berbaju dan berseluar dalam serta keadaan mayat berulat.
“Pemeriksaan oleh pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ke atas badan si mati mendapati tiada kesan pergelutan atau lain-lain kecederaan yang boleh menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kata beliau, mayat dihantar ke jabatan forensik Hospital Shah Alam untuk menjalani ujian bedah siasat pada Sabtu, seterusnya mengenal pasti punca kematian.
Menurut beliau, siasatan diklasifikasikan di bawah laporan mati mengejut (SDR).
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Izzman Mohd Idrus di talian 013-4003355,” ujarnya.