KUCHING: Misteri kehilangan seorang wanita sejak Sabtu lalu berakhir tragis apabila mayatnya ditemui dalam keadaan membusuk di dalam sebuah kenderaan di kawasan parkir bertingkat sebuah pusat beli-belah di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Anak Chabu berkata, polis menerima laporan daripada orang awam yang menemui seorang wanita tidak sedarkan diri di dalam kereta.
“Pemeriksaan mendapati mangsa berada di tempat duduk pemandu dan pintu kenderaan terkunci dari dalam.
“Pihak bomba dipanggil bagi membantu membuka pintu sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Menurutnya, siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi bagi menghormati keluarga mangsa dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Mangsa dikenali sebagai Marianna, 24 tahun, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Tabuan Laru menaiki kenderaan jenis Nissan Grand Livina pada Sabtu lalu.
 
             
	





