KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Negeri di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Ini berikutan rombakan yang menyaksikan pelantikan tiga menteri baharu dan pertukaran portfolio antara beberapa menteri.
Menteri baharu – Datuk James Ratib (Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat), Datuk Christina Liew (Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar) dan Phoong Jin Zhe (Pembangunan Perindustrian) – mengangkat sumpah pada 11 Januari.
Datuk Ir Shahelmey Yahya menghadiri mesyuarat itu buat kali pertama sebagai Timbalan Ketua Menteri III, memegang portfolio Menteri Kerja Raya.
Ketua Menteri juga mengalu-alukan kepulangan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim yang telah bercuti sakit sejak tahun lepas.
Menteri lain yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I – Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan (Pertanian dan Perikanan), Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam (Kerajaan Tempatan dan Perumahan) – Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Arifin Arif dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.





