Miliki Rokok dan Minuman Keras Tanpa Duti Kastam, Lelaki Didenda RM620,000 atau...

Miliki Rokok dan Minuman Keras Tanpa Duti Kastam, Lelaki Didenda RM620,000 atau 4 Bulan Penjara

0
SHARE

KOTA MARUDU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM620,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah memiliki rokok dan minuman keras tanpa duti kastam yang sah.

Tertuduh, Nelmon Madinar, 27, yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta yang sama.

Majistret, Akhiruddin Acho menjatuhkan hukuman denda RM620,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan hasil serbuan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu di sebuah bangunan di One Marudu, di sini.

Dalam serbuan berkenaan, polis merampas 40 kotak minuman keras beralkohol jenama Cool Beer serta 4,000 bungkus rokok jenama 77 Double Seven yang dipercayai tidak mempunyai duti kastam yang sah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Seanhilary Miting Pakoi.

Seksyen 135 Akta Kastam 1967 memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 (mana-mana yang lebih tinggi) dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 (mana-mana yang lebih tinggi), atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Simiun Lomudin menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan dan pengedaran barangan tanpa duti kastam.

Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.