
KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Walaupun ada yang mempertikai dan memperlekeh misi Global Sumud Flotilla (GSF) kerana gagal menjejakkan kaki ke Gaza, tetapi ia telah berjaya membuka mata ratusan juta masyarakat dunia terhadap kerakusan dan kezaliman Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak-pihak yang mengeluarkan kenyataan itu sepatutnya faham bahawa kesemua 400 peserta GSF itu berdepan dengan rejim penjajah yang ganas dan zalim.
“Mereka berkorban, susah payah menempuh ombak di lautan, berdepan ketidakpastian keselamatan, malah semua telefon mereka dicampakkan ke laut.
“Dua pengajaran besar daripada peristiwa ini iaitu mereka telah memberi sumbangan besar bagi mencelikkan masyarakat dunia terhadap kekejaman Zionis dan kedudukan Malaysia hubungan melalui saluran diplomasi terbukti membantu dalam menyelamatkan rakyat kita,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, tanggungjawab beliau kini adalah untuk membawa keluar anak-anak Malaysia dengan apa cara sekali pun.
Pada masa sama, Anwar juga menyifatkan kenyataan Israel bahawa peserta GSF adalah pengganas merupakan kenyataan biadap yang datang daripada ‘pengganas besar’.
“Suaranya daripada siapa? Daripada terrorist Israel. Jadi terrorist besar (beri) gelaran. Mereka ini tidak membawa senjata, tak bunuh orang, dia bawa makanan, minuman dan perubatan.
“Bagaimana boleh gelar mereka ini terrorist? Ini satu kenyataan yang biadap,” katanya.





