KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Parlimen P.188 Silam Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi, mengisytiharkan keluar parti Warisan untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.61 Segama merupakan wakil rakyat ketiga dari parti tersebut untuk keluar dan memberikan sokongan kepada GRS dalam tahun ini sahaja.
Seperti rakan-rakan yang sebelumnya, Mohamaddin berkata langkah itu adalah bagi membawa pembangunan kepada kawasan masing-masing, sesuatu yang tidak dapat dicapai di bawah pimpinan Parti Warisan.
“Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama adalah baru dan saya kesian…satu tandas awam pun tidak ada…
“Penyokong saya tanya, Datuk, bila kita mau ada pembangunan walhal di Segama banyak kilang dan ladang kelapa sawit berpendapatan tinggi? Saya tidak dapat menjawab soalannya.
“Saya bersedia berdepan apa-apa tindakan saman yang akan dikemukakan bekas parti saya,” katanya dalam sebuah sidang media hari ini di Marina Sutera Harbour, Kota Kinabalu.
VIDEO sidang media Khas Datuk Mohamaddin Ketapi membuat pengumuman keluar dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) pagi tadi di Marina Sutera Harbour, Kota Kinabalu…
Beliau berkata juga wujud konspirasi menjatuhkannya dari kerusi dengan percubaan untuk menaikkan Datuk Mohd Yusof Apdal, yang merupakan adik kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.
“Saya ada dengar khabar angin ini…Yusof dan ADUN Tungku, Assafal P Alian, sering berkempen di Kunak…
“Tapi ini hak masing-masing. Siapa yang mahu buat begitu, buatlah. Saya tidak marah. Malahan saya merasa bangga sebagai orang yang memperkenalkan Assafal kepada Shafie dan percaya di dalam potensi beliau.
“Yang saya tahu, saya suda keluar dan dengan itu akan membawa kemajuan kepada kawasan Segama.
“Kalau saya kekal, tiada pembangunan, tetapi sukar bagi Warisan menembusi bahagian akar umbi. Saya hanya mahu bersifat adil,” katanya.
Beliau berkata Warisan telah ‘menyapu’ keempat-empat kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu tetapi tidak tahu jika yang sama boleh dikatakan selepas dirinya keluar dari parti itu.
Dalam pada itu, Mohamaddin membidas mana-mana pihak yang cuba mengatakan bahawa bekas pemimpin parti Warisan yang telah keluar kononnya dibeli oleh pihak kerajaan.
“Saya sendiri tidak dibeli. Saya mengisytiharkan keluar bukan kerana dibeli tetapi tidak melihat apa-apa pembangunan di kawasan DUN Segama. Yang kesian itu rakyat,” tegasnya.
Menurut beliau, seramai 12 daripada 20 Ahli Jawatankuasa Bahagian mengikut langkah untuk keluar dengan jangkaan lebih ramai yang akan menurut serta.
Mohamaddin yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 sebelum ini memenangi kerusi DUN Segama dengan mendapat 4,864 undi menewaskan TUJUH (7) pencabar yang lain dengan majoriti 2,168 undi.
Sebelum ini pada 08 Oktober, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob turut mengumumkan secara rasmi keluar daripada Parti Warisan Sabah pada 8 Oktober baru-baru ini.






