MPP UiTM Mohon Maaf Atas Bantahan ‘Salah Faham’, Protes Kemasukan Pelajar Bukan...

MPP UiTM Mohon Maaf Atas Bantahan ‘Salah Faham’, Protes Kemasukan Pelajar Bukan Bumiputera 

0
SHARE

PETALING JAYA: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) memohon maaf kerana menyebabkan salah faham terhadap bantahan baru-baru ini mengenai gesaan menolak kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks.

Jelasnya, bantahan yang dibuat pada 14 Mei lalu, di mana ia menggesa semua pelajar memakai baju hitam sebagai tanda solidariti, adalah sedikit mengelirukan kerana mereka tidak menjelaskan kronologi sebenar kes tersebut. 

“Terdapat beberapa salah faham berhubung kenyataan itu kerana tafsiran kami terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak dijelaskan secara menyeluruh yang mana perkara itu adalah ‘kedudukan istimewa’ orang Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak. 

“Ini di luar jangkaan kami dan kami menerima ini sebagai pengajaran untuk memastikan kenyataan yang lebih jelas dibuat pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Ketika mengumumkan bantahan minggu lepas, MPP berkata, mereka berpegang teguh kepada perlembagaan, khususnya Perkara 153, dan UiTM ditubuhkan untuk memelihara kedudukan istimewa Bumiputera.

Sementara itu, MPP turut mengakui bahawa ia telah mengganggu keharmonian negara kerana kaedah penyampaian yang tidak jelas dalam mengumumkan bantahan itu.

 

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung kerana menyuarakan pendapat dan kebimbangan mereka. Pandangan dan maklum balas mereka sangat penting bagi kami dalam menyelesaikan isu ini.

“Akhir sekali, setiap kesilapan yang berlaku akan menjadi pengajaran buat kami. Kami sekali lagi memohon maaf atas perkara ini,” katanya.

Bantahan MPP UiTM itu dibuat selepas Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa universiti itu mengutamakan kesihatan awam dengan membuka sementara program pembedahan kardiotoraks kepada bukan Bumiputera berikutan kekurangan pakar dan pakar bedah dalam bidang itu.

Pelajar-pelajar itu mendapat kecaman daripada profesor Universiti UCSI, Tajuddin Rasdi kerana mempunyai pemikiran yang ketinggalan zaman.

Manakala Johan Ariffin Samad, ahli kumpulan G25, menyifatkan tindakan pelajar itu sebagai pramatang kerana cadangan itu hanya untuk satu kursus.