Program i-Tekad Dijangka Akan Diperluas Ke Seluruh Sabah

Program i-Tekad Dijangka Akan Diperluas Ke Seluruh Sabah

0
SHARE
I tekad
Malai Ali (kanan) dan Ken Mohamed (dua dari kanan) menyarungkan topi keledar serta beg penghantaran makanan Foodpanda kepada salah seorang peserta ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Program i-Tekad CIMB Islamic Rider Entrepreneur dijangka akan diperluas ke seluruh daerah bagi membantu golongan asnaf dan B40 di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad berkata program pemerkasaan komuniti dengan kerjasama Yayasan Belia Malaysia (YBM) dan MUIS itu buat julung kalinya melahirkan 37 orang asnaf sebagai penghantar makanan Foodpanda Malaysia.

“Alhamdulillah, seperti yang kita rancang pada tahun lepas menjadi kenyataan di mana CIMB Islamic turun padang untuk sama-sama membantu golongan asnaf di Sabah.

“Kerajaan negeri khususnya MUIS mengucapkan berbanyak terima kasih dan kita melihat seramai 37 peserta dalam program ini akan memanfaatkan Program i-Tekad.

“InshaAllah program ini tidak akan berhenti di sini, kita akan melihat dahulu bagaimana pencapaian program pertama ini sekiranya menggalakkan saya rasa dan yakin CIMB akan turun padang lagi untuk membantu.

“Terima kasih kepada YBM dan Foodpanda dan pihak yang melatih selama lima hari empat malam di sini, semoga ini akan membantu usaha kerajaan untuk memperkasa dan membangun ekonomi memberi manfaat kepada para peserta,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Malai Ali memaklumkan pemilihan kriteria asnaf disenaraikan oleh MUIS sebelum dinilai semula oleh YBM dan diserapkan ke dalam kursus selama lima hari empat malam.

“MUIS memilih asnaf yang ada dan mereka ini dinilai semula oleh YBM dan hasilnya kita ada 37 peserta dan inshaAllah di Sandakan dan daerah-daerah lain akan kita libatkan,” katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Motorsikal Program i-Tekad CIMB Islamic Rider Entrepreneur Edisi Asnaf Negeri Sabah di sini, pada Selasa.

Beliau juga turut menasihatkan para peserta yang berumur di antara 20 hingga 45 tahun itu agar menunggang motorsikal dengan cermat di samping menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif YBM, Datuk Mustapa berkata YBM berperanan menyelaraskan program latihan kemahiran keusahawanan selama lima hari empat malam merangkumi aspek pengurusan kewangan, kemahiran teknikal dan kesejahteraan emosi sebelum menyerahkan motorsikal dan dilantik sebagai penghantar makanan Foodpanda secara sah kepada para peserta.

“YBM dilantik oleh CIMB Islamic untuk menyelaraskan sepanjang Program i-Tekad merupakan program sejak tiga tahun lepas, yang mana untuk Lembah Klang Selangor dan Wilayah Persekutuan dah selesai, seterusnya ke Pahang, Sarawak, Melaka dan Sabah.

“Tugas YBM untuk memantau selama tempoh 12 bulan yang mana mereka ini mesti mencapai tahap pendapatan setiap bulan akan dihantar ke YBM.

“Program di Sabah ini kali pertama, sekiranya mendapat sambutan baik dari MUIS dan peserta, YBM akan berbincang semula,” jelasnya.

Pada majlis itu, Malai Ali diiringi Ketua Serantau Pembangunan Perniagaan dan Inisiatif Korporat CIMB Islamic Bank Berhad, Ken Mohamaed Faiz Kamal, Mustapa serta Ketua Jabatan Hubungan Awam dan Kerajaan Foodpanda Malaysia, Amri Sham menyempurnakan acara pelepasan sebagai gimik perasmian majlis berkenaan.

Setakat ini, Sabah mendahului negeri-negeri lain dari segi jumlah peserta dan secara keseluruhan jumlah peserta program dengan konsep wakaf bertempoh itu kini mencecah 120 orang seluruh Malaysia. — JABATAN PENERANGAN SABAH