KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan dua inisiatif baharu kerajaan negeri bagi memperkasa golongan belia dan memastikan dasar pembangunan belia Sabah terus bersifat inklusif, dinamik dan berimpak besar.
Dua inisiatif berkenaan ialah penubuhan Majlis Tindakan Belia Sabah (MTBS) dan Pemikir Muda Ketua Menteri, yang akan dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) serta Majlis Belia Sabah (MBS).
Menurut Hajiji, MTBS akan berfungsi sebagai badan pelaksana khusus bagi pembangunan dan kesejahteraan belia secara bersepadu, manakala Pemikir Muda Ketua Menteri pula menjadi platform langsung bagi anak muda menyalurkan pandangan, idea dan aspirasi mereka kepada kerajaan negeri.
“Anak muda Sabah bersedialah untuk menyalurkan apa yang mereka mahu sampaikan kepada kerajaan untuk dilaksanakan demi manfaat belia dan rakyat Sabah keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Program Tamu Suara 360°: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Hajiji berkata, penganjuran program Tamu Suara 360° menjadi bukti bahawa kerajaan negeri serius mendengar aspirasi dan keresahan belia, sambil menegaskan bahawa pandangan yang dikumpul akan diterjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan nyata.
“Tamu Suara 360° ini bukan sekadar program, tetapi wahana keyakinan bahawa suara belia tidak akan berakhir di sini.
“Saya mahu setiap kritikan, cadangan, keresahan dan impian yang dilontarkan sepanjang program ini diangkat menjadi dokumen bernyawa diperhalusi, diterjemah dan dipertahankan hingga menjadi dasar,” katanya.
Dalam ucapan sama, Hajiji turut berkongsi kejayaan kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan pendidikan melalui pelaburan berjumlah RM1.3 bilion sejak empat tahun lalu.
Menurutnya, biasiswa yang disediakan oleh kerajaan Sabah juga terus ditambah setiap tahun dengan agihan semasa melibatkan 12,000 penerima, masing-masing terdiri daripada 5,000 Bumiputera Islam, 5,000 Bumiputera bukan Islam dan 2,000 daripada masyarakat Cina.
Selain itu, penubuhan Tabung Pendidikan Sabah turut memperluas akses bantuan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, dengan lebih 10,000 pelajar telah menerima manfaat setakat ini.
Hajiji turut mengingatkan anak muda supaya menjadi saluran komunikasi berkesan bagi menjelaskan pencapaian dan usaha kerajaan negeri kepada rakyat, khususnya di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berjaya memulihkan ekonomi negeri selepas tempoh mencabar lima tahun lalu.
“Saya minta suara anak muda jelaskan kepada rakyat apa yang kerajaan buat. Tidak adil kepada kami yang bertungkus-lumus menaikkan hasil negeri dan mengembalikannya kepada rakyat, tetapi difitnah oleh pembangkang,” tegas beliau.
Program Tamu Suara 360°: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 yang menghimpunkan ribuan belia dari seluruh negeri itu menandakan kejayaan siri libat urus kerajaan bersama generasi muda dalam menyusun hala tuju baharu pembangunan belia Sabah yang progresif dan berdaya tahan.