BELURAN, SABAH – Kira-kira 7,000 pelajar daripada 60 sekolah dalam Parlimen Beluran di sini, menerima bantuan Program Balik Ke Sekolah (CSR) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), hari ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata NAFAS menyediakan peruntukan RM580,000 pada tahun ini untuk pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Penyampaian bantuan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara mulai Januari lepas dan sumbangan diberikan merupakan kelengkapan persekolahan termasuk beg, buku serta alat tulis, kepada golongan sasar khususnya dalam kalangan ahli keluarga petani, penternak dan nelayan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu di sini.
Memetik laporan Bernama, beliau berkata bahawa NAFAS sangat prihatan dan mengambil berat dalam meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah terutama ketika persediaan anak-anak mahu ke
sekolah.
“Dalam mendepani situasi semasa di mana pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir ini, adalah diharapkan bantuan yang disampaikan pada hari ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan terutama dalam membuat persiapan awal persekolahan anak mereka,” katanya lagi.

Menurut Kiandee, pemberian sumbangan itu bukan sahaja untuk menyalurkan bantuan kepada ahli-ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (Peladang) sahaja sebaliknya kepada masyarakat setempat juga.
“Hal ini dibuktikan hasil keuntungan yang dijana oleh NAFAS, bukan sahaja dikembalikan kepada lebih 900,000 ahli Peladang, sebaliknya dikongsi juga bersamasama seluruh rakyat yang memerlukan, misalnya hari ini juga, 13 buah enjin sangkut turut disampaikan kepada penerima yang layak,” katanya.