Naib Presiden Parti Warisan Sabah Ditahan Reman 5 Hari Kerana Terlibat Penyelewengan...

Naib Presiden Parti Warisan Sabah Ditahan Reman 5 Hari Kerana Terlibat Penyelewengan Dana KKLW

0
SHARE

KOTA KINABALU – Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony, 46, ditahan reman lima hari selepas Mahkamah Majistret Kota Kinabalu mengeluarkan perintah melalui Majistret Stephanie Sherron Abbiedi dalam kamar hakim lebih kurang pukul 3 petang, hari ini, Jumaat.

Turut ditahan reman ialah seorang ahli perniagaan Yu Sin Kong, 52, atas dakwaan dan bagi membantu siasatan penyelewengan dana kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang ketika itu dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal, yang kini presiden Warisan antara tahun 2009 hingga 2015.

Anthony diwakili barisan peguam, Martin Tommy, Loretto Padua Jr dan Cedric Choo manakala Sin Kong diwakili peguam Edward Paul.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Faliq Basirudin mewakili pihak pendakwaan.

Kira-kira 100 individu dipercayai penyokong WARISAN hadir di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu sejak jam 8.30 pagi, hari ini.

Sumber Foto; FMT

Anthony dan Sin Kong ditahan reman bagi membantu siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dalam ucapannya semalam, Khamis, sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan kali ke-9 di Kuala Lumpur mendedahkan pihaknya menyita RM29 juta lagi dalam siasatan terbaharu mengenai penyelewangan dana sebuah kementerian di Sabah.

Juga, beliau berkata lebih RM150 juta wang tunai turut dirampas dalam operasi yang dijalankan oleh pegawai penyiasat di 15 lokasi di Sabah.

Borneo Post melaporkan Peter sebelum ini menafikan pernah membuat tuntutan palsu melebihi RM42 juta ketika melakukan kontrak kerja dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Peter berkata syarikatnya menerima sijil mengesahkan ia menyelesaikan kontrak daripada UMS dengan mematuhi segala peraturan dan skop kerja yang ditetapkan.