
KOTA KINABALU, SABAH – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sabah sudah tidak kukuh.
“Pemimpin Bersatu di Sabah tidak lagi ‘menjual’ nama parti berkenaan kerana kekuatan Bersatu ketika ini sudah mula menurun,’ kata bekas perdana menteri Najib Razak.
“sekarang mereka ‘jual’ (nama) GRS…
“Saya nampak dia (Bersatu) tidak sekuat dulu, kalau Bersatu kuat mereka tentu cakap lebih Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis Santai Petang Bersama Aktivis Maya Sabah di Kolombong pada petang Jumaat kelmarin (1 Julai).
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu berpendapat keadaan politik di Sabah akan bergantung kepada situasi yang bakal berlaku di Semenanjung pada PRU akan datang.
Jelasnya di Semenanjung ketika ini, kekuatan dilihat lebih berpihak kepada BN dan beliau percaya perkara sama akan turut berlaku di Sabah.
“Apa yang berlaku di Sabah banyak bergantung kepada apa yang berlaku di semenanjung, di semenanjung ‘angin bertiup’ ke arah BN, semua berpendapat BN ada peluang yang terbaik untuk menubuhkan kerajaan bila sampai masanya…
“Dalam konteks Sabah, kita kena tunjukkan BN bukan parti dari Semenanjung, BN adalah parti yang dikuasai orang Sabah, di bawah satu gagasan atau payung yang besar.
“Jadi bila kita bawa gagasan, kita ada kekuatan yang lebih, itu yang mesti diterapkan pada orang Sabah,” katanya.
Diminta mengulas berkenaan perkembangan parti-parti politik di Sabah, Najib turut berpendapat banyak parti yang bergerak secara solo dan tiada kekuatan sendiri menyebabkan mereka cuba kekal menerusi gabungan bersama parti lain.
“Parti-parti yang lain itu tidak ada kekuatan, mereka sudah banyak menurun termasuk Parti Warisan (Warisan) juga. Kita kena faham bahawa BN ada kekuatan yang lebih pada masa ini,” katanya.





