NGO buat laporan polis terhadap Rafizi berkait dakwaan mengenai Azam Baki

NGO buat laporan polis terhadap Rafizi berkait dakwaan mengenai Azam Baki

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO), Ariffin Abu Bakar membuat laporan polis terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung satu hantaran video di platform TikTok yang didakwa mengandungi kenyataan bersifat spekulatif berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Laporan tersebut dibuat oleh Ariffin di Balai Polis Jalan Dang Wangi pada Sabtu.

Menurut laporan itu, beliau mendakwa sekitar jam 11.30 malam pada 13 Mac lalu, beliau terlihat satu hantaran daripada akaun TikTok yang dipercayai milik Rafizi ketika berada di Bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini.

Ariffin mendakwa dalam hantaran tersebut, Rafizi menyentuh mengenai Azam dengan dakwaan memiliki pegangan saham bernilai jutaan ringgit dalam beberapa syarikat.

Menurutnya, kenyataan berkenaan didakwa merujuk kepada laporan media antarabangsa, namun maklumat tersebut dikatakan belum dipastikan kesahihannya.

Beliau turut mendakwa kenyataan yang dibuat itu berpotensi menimbulkan persepsi negatif terhadap Azam secara peribadi serta menjejaskan reputasi institusi SPRM sebagai badan penyiasatan rasuah negara.

Selain itu, laporan berkenaan turut menyentuh isu yang didakwa dibangkitkan mengenai ‘mafia korporat’ dalam SPRM yang menurut Ariffin tidak disertakan dengan bukti kukuh.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak polis menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan perkara berkenaan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, laporan polis tersebut dibuat agar pihak berkuasa dapat menilai sama ada wujud unsur fitnah atau penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan imej institusi penguatkuasaan negara.