NRC Desak Presiden AS Untuk Hentikan Penindasan Israel Terhadap Penduduk Palestin

NRC Desak Presiden AS Untuk Hentikan Penindasan Israel Terhadap Penduduk Palestin

0
SHARE
Gambar Hiasan...

TEL AVIV, ISRAEL – Majlis Pelarian Norway (NRC) iaitu badan amal pelarian antarabangsa menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden untuk masuk campur dan menghentikan perpindahan paksa dan pemusnahan rumah ratusan penduduk Palestin oleh Israel.

Badan tersebut mengemukakan desakan itu sempena kunjungan Biden ke wilayah yang diduduki di Tebing Barat pada Rabu.

NRC dalam satu kenyataan menyebut bahawa pihak berkuasa Israel telah meningkatkan aktiviti peluasan penempatan dan pencerobohan di seluruh Tebing Barat termasuk di Baitulmaqdis Timur dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Tambah NRC, ia dibuktikan dengan rancangan rejim Zionis untuk membina 4,427 unit rumah di penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, sekali gus menandakan peningkatan mendadak daripada 3,645 unit yang diluluskan sepanjang tahun lalu.

“Lawatan ini memberikan peluang yang baik kepada Biden dan AS untuk menuntut Israel menghentikan pencabulan sistematik dan harian terhadap warga Palestin terutama pengusiran yang memusnahkan kehidupan mereka,” kata Pengarah Wilayah Timur Tengah NRC, Carstsen Hansen.

Menurut analisis diterbitkan NRC, pegawai Israel telah memindahkan purata tiga rakyat Palestin setiap hari sejak Biden menggalas jawatan Presiden pada Januari tahun lalu.

Ia turut menyatakan bahawa rejim Israel telah merobohkan 18 bangunan dan memindahkan 17 warga Palestin sejak Perdana Menteri, Yair Lapid memegang jawatan awal bulan ini.