KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan hanya boneka sekiranya mereka berjaya menjadi parti pemerintah kerana pembangkang pada hakikatnya dikuasai oleh Lim Kit Siang dan Lee Guan Eng dari DAP.
Memetik kenyataan KL Xpress, bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Datuk Huan Cheng Guan berkata, ini terbukti kerana segala tindakan yang dilakukan oleh pembangkang harus mendapat kelulusan daripada kedua-dua pemimpin terbabit.
Menurutnya, ia bukan hanya membabitkan gabungan itu malah turut menguasai parti yang berada dalam pakatan harapan itu.
“Jika kita lihat tiada pemimpin pembangkang yang berani untuk bersuara atau menegur tindakan Kit Siang dan Guan Eng kerana bimbangkan akan nasib mereka pada masa hadapan.
“Pemimpin yang pernah berkuasa selama 22 tahun juga iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad kini patuh dengan arahan mereka walaupun sebelum ini beliau lantang bersuara mengenai DAP ketika berada dalam kerajaan,” katanya dalam dalam Program Anda Tanya Kita Jawab anjuran UMNO Online.
Turut serta dalam program itu Ketua Penerangan Umno Malaysia, Tan Sri Annuar Musan dan bekas aktivis DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman.
Cheng Guan berkata, tindakan DAP bergabung dengan parti lain adalah untuk meraih sokongan daripada orang Melayu kerana mereka tahu bahawa parti itu tidak mempunyai sokongan dari orang Melayu.
Katanya, itu yang dilakukan apabila DAP bergabung dengan PAS, bagaimanapun mereka tidak mencapai kata sepakat lalu berpecah dan membawa haluan masing-masing.
“Bimbang tiada sokongan DAP bertindak menubuhkan Parti Amanah yang dipimpian oleh Mohamad Sabu dan jika kita lihat dasar perjuangan Amanah adalah sama dengan DAP,” katanya.
Sementara itu, bekas aktivis DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, sebelum DAP menjadi parti pemerintah di Pulau Pinang mereka begitu akrab dengan PAS dan menyokong segala saranan yang dibuat oleh parti Islam itu.
Bagaimanapun katanya, apabila berjaya memperolehi negeri berkenaan segala tembelang dapat dihidu oleh PAS lalu bertindak meninggalkan pakatan pembangkang.
“Setiap ahli dalam pakatan harapan sama ada pemimpin atau ahli harus patut dengan DAP terutama kedua-dua pemimpin berkenaan, jika gagal berbuat demikian tindakan akan diambil.
“Apa yang dilakukan oleh DAP adalah untuk kepengtingan parti mereka termasuk kedua-dua pemimpin terbabit, kerana agenda mereka bukan untuk membela nasib semua golongan sebaliknya hanya masyarakat Cina,” katanya.
Mohamed Razali berkata, berbanding dengan Barisan Nasional (BN) semua golongan dijaga malah dalam barisan kabinet kita boleh lihat pemimpin daripada pelbagai kaum dan bangsa termasuk dari Sabah dan Sarawak.