Para Peniaga Harus Manfaatkan Media Sosial Untuk Jana Pendapatan – Ir. Shahelmey

Para Peniaga Harus Manfaatkan Media Sosial Untuk Jana Pendapatan – Ir. Shahelmey

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Para peniaga harus memanfaatkan media sosial untuk menjana pendapatan dalam perniagaan yang diceburi.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah , Ir. Shahelmey Yahya berkata para peniaga terutamanya golongan muda perlu tingkatkan ilmu serta kemahiran untuk terus maju dalam bidang perniagaan.

“Bengkel usahawan ini kita anjurkan sebagai satu usaha berterusan kita sebagaimana yang dinyatakan dalam dua daripada tiga aspirasi saya iaitu membangunankan sumber manusia dan mempergiatkan ekonomi penduduk sekitar Tanjung Keramat dan juga daerah Putatan…

“Bersempena dengan kemajuan teknologi digital yang ada pada hari ini, kita berpendapat bahawa bengkel usahawan digital ini begitu bertepatan sekali dengan keadaan sekarang.”

“Saya percaya dengan adanya kemahiran ataupun tunjuk ajar yang diberikan dalam tempoh dua hari bengkel ini diadakan maka pamasaran produk-produk mereka ini akan dapat dilakukan dalam skop yang lebih luas lagi,” katanya.

Shahelmey yang juga ADUN N24 Tanjung Keramat berkata demikian ketika menyempurnakan Bengkel Usahawan Digital Menggunakan Aplikasi Telefon Pintar anjuran Pusat Khidmat Rakyat DUN N.24 Tanjung Keramat.

Pemantauan prestasi akan dibuat terhadap peniaga-peniaga yang menghadiri bengkel tersebut.

“Setelah tamatnya bengkel ini, kita akan membuat pemantauan tentang prestasi kemajuan mereka dalam tempoh dua bulan…

“Kita ingin membimbing mereka agar mereka boleh menjadi usahawan yang berjaya dan seterusnya menjadi ‘role model’ kepada kumpulan-kumpulan yang bakal mengikuti inisiatif-inisiatif latihan daripada khidmat ADUN N24 Tanjung Keramat,” Katanya.

Seramai 20 peserta yang terdiri daripada golongan B40 diberi pendedahan tentang penggunaan teknologi digital untuk memasarkan produk mereka seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan sebagainya.

Program ini melibatkan dua orang penceramah yang pakar dalam bidang pemasaran secara atas talian dan dibantu oleh tiga orang fasilitator selama dua hari.

Para peserta turut diberi taklimat daripada TEKUN dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) untuk mendedahkan mereka kepada peluang yang lebih jauh dalam perniagaan.

Turut hadir ialah, Koordinator Program; Sheikh Junaidi Sheikh Muhamad, dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N24 Tanjung Keramat; Sufian Matin.