KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kekal menyokong dan setia terhadap Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dalam memimpin negeri ini.
Timbalan Presiden PBS merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam ketika ditemui pemberita diminta mengulas sekiranya ada keperluan
mengemukakan usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terhadap Hajiji.
Walau bagaimanapun, Joachim mengatakan tiada keperluan berbuat demikian disamping menyatakan keyakinan semua ADUN dalam PBS menyokong kepimpinan Hajiji.
“Tiada keperluan (mengemukakan usul undi percaya terhadap Hajiji) tetapi jika ia diperlukan, saya pasti kita akan menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kepala Singa kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2023 Anjuran Kerajaan Negeri Sabah bertempat di The Magellan Sutera, di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden STAR Datuk Ellron Angin dalam majlis yang sama berkata partinya juga kekal setia bersama Hajiji.
“Sepanjang makluman pihak STAR, semua ADUN kami adalah untuk Hajiji. Kami setia pada beliau,” katanya.
Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan berkata pihaknya bersedia membuktikan keabsahan sokongan terhadap kerajaan negeri dibawah pimpinan Hajiji jika diperlukan berbuat demikian.





