PBS Kecam Tuduhan Tidak Berasas Amira Aisya Terhadap Tun Musa

PBS Kecam Tuduhan Tidak Berasas Amira Aisya Terhadap Tun Musa

0
SHARE

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun mengecam kenyataan Ahli Parlimen MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz yang didakwa membuat tuduhan liar terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Beliau menyifatkan kenyataan Amira semasa satu protes baru-baru ini sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak berfakta, serta mencerminkan tahap kematangan politik yang rendah.

“Amira seolah-olah sengaja mengabaikan fakta bahawa Tun Musa telah dibebaskan sepenuhnya oleh mahkamah, selepas Pejabat Peguam Negara menarik balik kes berkenaan, dan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) turut membersihkan nama beliau daripada sebarang salah laku,” katanya.

Menurut Johnny, tindakan Amira mengulangi dakwaan yang telah lama disangkal menunjukkan sama ada kejahilan atau usaha terdesak untuk meraih perhatian politik.

“Lebih ironi, Presiden parti beliau sendiri telah disabitkan kesalahan rasuah. Sebelum menuding jari kepada orang lain, lebih baik cermin diri sendiri.”

Tambahnya, serangan tidak berasas hanya merosakkan wacana politik dan bukannya memperbaikinya.

“Jika MUDA benar-benar mahu membawa politik baru, mereka patut mulakan dengan telus terhadap pemimpin mereka sendiri.

“Cukup-cukuplah dengan hipokrasi. Biar fakta yang berbicara, bukan drama politik,” tegasnya.