Syarikat Callabio dan Sanomedical Telah Mula Operasi di SAIP Sejak 1 Jun,...

Syarikat Callabio dan Sanomedical Telah Mula Operasi di SAIP Sejak 1 Jun, Bakal Pacu Industri Pembuatan di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah Agro-Industrial Park (SAIP) melangkah ke fasa pengkomersialan dengan menandatangani dua perjanjian sewa bersama Callabio Manufacturing Sdn Bhd dan Sanomedical Asiapac Sdn Bhd, melibatkan tiga fasiliti utama: Fasiliti Pemprosesan Herba (HPF), Fasiliti Pengeluaran Produk (PLF), dan Makmal Kosmetik.

Callabio akan menyewa HPF dan PLF untuk memulakan pengeluaran produk nutraseutikal, farmaseutikal, makanan, minuman isotonik serta ubat-ubatan berasaskan herba, manakala Sanomedical pula akan mengoperasikan Makmal Kosmetik untuk pembuatan produk perubatan.

Kedua-dua syarikat dijangka memainkan peranan penting dalam merangsang industri pembuatan di Sabah, membuka peluang pekerjaan dan menggalakkan penyertaan usahawan tempatan, selaras dengan aspirasi pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Perjanjian disempurnakan oleh Pengarah SAIP Sdn Bhd, Datuk Ar. James Wong dan Datuk Dr Ramzah Dambul. Callabio diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Shahir Suhaimi, manakala Sanomedical oleh Pengurus Besar, Puan Helgah Veronica Smith Lagadan.

Kedua-dua syarikat turut menyerahkan deposit masing-masing RM125,000 dan RM100,000 sebagai komitmen.

Majlis disaksikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan merangkap Pengerusi SAIP, Datuk Phoong Jin Zhe yang merakamkan penghargaan atas usaha pengurusan SAIP.

Turut diadakan ialah pembentangan cadangan usahasama oleh CAIQ Biosecurity Sdn Bhd untuk menjadikan SAIP sebagai hab utama ujian dan pendaftaran produk eksport ke China, khususnya dalam bidang makanan, suplemen, pertanian dan akuakultur.