PBS, STAR Boleh Kerjasama Rapat Bela Rakyat, Bangunkan Sabah 

PBS, STAR Boleh Kerjasama Rapat Bela Rakyat, Bangunkan Sabah 

0
SHARE
Joachim
Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam ( Sumber Foto: Ihsan PBS )

KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam optimis PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) boleh bekerjasama rapat khususnya dalam membela nasib rakyat dan seterusnya membangunkan Sabah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas idea pengabungan PBS dan STAR semasa berucap pada program Hari Keluarga PBS Bahagian  Inanam yang diadakan di Padang Pekan Manggatal, di sini, Ahad lepas.

PBS dan STAR dalam kenyataan bersama pada 16 November lalu memaklumkan telah mencapai kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi pengwujudan persefahaman dan kerjasama di antara kedua-dua parti.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Agung STAR, Datuk Edward Linggu dalam kenyataan bersama itu berkata, mesyuarat rasmi pertama akan diadakan dalam masa terdekat.

Kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi ini dicapai dalam pertemuan diantara pemimpin kedua-dua parti pada 15 November 2023 berdasarkan asas-asas berikut, iaitu untuk menyahut seruan akar umbi yang ingin melihat kedua-dua parti menjalinkan kerjasama jitu dan mampan demi perpaduan rakyat berbilang etnik; sebagai kesinambungan kepada cadangan yang menjurus kepada usaha di atas sebelum PRN pada 2020; dan untuk memperkukuhkan lagi kekuatan dan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selain itu, beliau juga menyeru semua ahli parti agar memberikan kerja sama sepenuhnya dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus.