KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin meminta agar kerajaan dan pihak bertanggungjawab untuk memberi perhatian kepada keperluan bagi memantau serta menaiktaraf keadaan tandas awam di seluruh negeri, seiring dengan keperluan perkembangan industri pelancongan negeri Sabah.
Katanya, tandas awam adalah perkara penting yang digambarkan sebagai imej yang diperhatikan dan dinilai terutamanya bagi sesuatu tempat dan premis perniagaan serta kediaman.
“Kita sering dengar orang-orang lama berkata, hendak tengok tahap pembersihnya seseorang itu, tengok saja tandasnya, bagaimana dia menjaga tandasnya, maka disitu kita dapat gambaran tahap kebersihan diri seseorang.
“Hal yang sama juga dengan kemudahan tandas awam kita tidak kira di lokasi tumpuan umum, premis perniagaan, premis jualan dan restoran, bahkan juga hotel serta rumah tumpangan yang sememangnya perlu dan penting untuk pemiliknya menyediakan kemudahan tandas yang bersih dan lengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada petang Isnin.
Menurut Amisah, aspek kebersihan tandas awam adalah cerminan yang akan diperkatakan oleh penggunanya, baik kita sendiri mahupun pelancong luar.
“Berdasarkan kajian World Toilet Organisation (WTO), sebuah bukan kerajaan (NGO), secara purata, seseorang individu menggunakan tandas sebanyak 2,500 kali setahun atau enam hingga lapan kali sehari.
“Bayangkan, betapa pentingnya fasiliti tandas dalam kehidupan harian kita.
“Namun, sejauh mana masyarakat kita meletakkan fasiliti ini sebagai satu keperluan harian yang sangat penting, dan seramai manakah di antara masyarakat kita yang mempunyai rasa kepunyaan terhadap kemudahan tandas awam yang disediakan?,” katanya.
Tambah Amisah lagi, kaedah terbaik untuk dilakukan adalah semua pihak perlu segera memikirkan kaedah terbaik untuk memupuk budaya dan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan tandas awam.