
TUARAN, SABAH – Peserta perhimpunan Sail Malaysia telah memuji Tuaran sebagai tempat berlabuh yang sangat baik, menawarkan akses mudah untuk bersantai dan kawasan luar bandar yang indah.
David Anderson dari Australia memuji keindahan pantai Tuaran, menyifatkannya sebagai lokasi pantai yang bagus dengan persekitaran yang selamat dan santai.
“Ia adalah dermaga marina yang sederhana dan tempat yang sesuai untuk mendapatkan bot diservis dan bersedia sebelum meneruskan pelayaran lebih jauh.
“Kami juga berpeluang menjelajah kampung berhampiran, dan ramai kelasi datang ke sini untuk melihat kawasan luar bandar. Sudah tentu, itulah tujuan saya di sini,” katanya.
Anderson menyampaikan perkara itu kepada Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, semasa majlis sambutan di Jeti Anjung Gayang pada Jumaat.
Sejak Rabu, armada rali lebih 20 kapal layar telah tiba di Tuaran sebagai sebahagian daripada program tahunan Sail Malaysia Passage to East Yacht Rally 2024.
Peserta berasal dari Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, United Kingdom, Portugal, Hong Kong, Afrika Selatan, Indonesia, Thailand, Kanada dan negeri Malaysia yang lain.
Seperti kebanyakan peserta, ini adalah lawatan pertama Anderson ke Sabah, di mana dia turut berlayar bersama isteri dan dua anak mereka, berusia tiga dan enam tahun. Beliau uga komodor kumpulan itu.
Pelayar Switzerland Stephan Chappuis, juga mengembara bersama keluarganya dan berkongsi pengalaman positifnya.
Beliau menyatakan bahawa tempat berlabuh di Tuaran menawarkan perlindungan yang sangat baik untuk bot daripada ombak.
“Tuaran adalah lokasi yang hebat untuk berlabuh, dan pemandangan luar bandar sungguh menakjubkan.
“Ini kali pertama saya ke Sabah, dan saya tidak sabar untuk menerokai negeri ini,” katanya sambil menambah Sabah juga merupakan destinasi percutian keluarga yang ideal.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sail Malaysia Sazli Kamal Basha berkata, pelabuhan yang dilindungi Tuaran mempunyai kedalaman semula jadi yang cukup untuk menampung kapal layar asing.
“Ini bermakna pelabuhan Tuaran mempunyai potensi besar untuk menjadi hab kapal layar utama di Borneo dan produk pelancongan baharu untuk Sabah.
“Untuk merealisasikan potensi ini, kawasan masuk ke dalam pelabuhan itu perlu diperdalam, dan kami amat pasti dengan rancangan kerajaan untuk mewujudkanmya agar pembangunan dan pelaburan tepi laut akan mengalir ke kawasan ini,” katanya.
Joniston, yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, menyatakan komitmen negeri untuk mempromosikan pelancongan nautika secara khusus.
“Sabah berdedikasi untuk meningkatkan pengalaman pelaut dengan menawarkan lokasi berlabuh yang unik seperti Tuaran.
“Kami percaya bahawa membangunkan aspek pelancongan ini menambah nilai penting bukan sahaja kepada pelayar tetapi juga kepada Sabah dan masyarakat tempatan kita,” katanya.





