KOTA KINABALU, SABAH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas pertembungan kenderaan Proton Saga BLM dengan sebuah lori 40 tan di Taman Khidmat, di Jalan Lintas kira-kira 5.40 pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas PKPB Agustavia Joe Guasi, terdapat tiga orang mangsa tersepit di dalam kenderaan Proton Saga.
“Mereka berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan seterusnya diberi rawatan awal oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Dua orang mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan manakala seorang daripadanya disahkan meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata mangsa cedera, dua perempuan berusia 59 dan 15 tahun telah dihantar ke hospital menaiki Ambulans manakala pemandu lori, seorang lelaki berusia 39 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Tiada talian keluarga antara pemandu Proton Saga dan mangsa meninggal dunia. Mangsa hanya anak kepada rakan pemandu. Kemungkinan beliau menumpang untuk pergi ke sekolah di SK dan SMK Kolombong,” katanya apabila dihubungi.






