Pelakon Utama Adiwira ‘Black Panther’ Meninggal Dunia Akibat Kanser Kolon

Pelakon Utama Adiwira ‘Black Panther’ Meninggal Dunia Akibat Kanser Kolon

0
SHARE

LOS ANGELES – Pelakon utama dalam filem adiwira ‘Black Panther’, Chadwick Boseman meninggal dunia di kediamannya Los Angeles pada Jumaat akibat kanser kolon (usus).

Menurut jurucakap bintang adiwira tersebut iaitu Nicki Fioravant, Chadwick meninggal dunia di samping isteri dan ahli keluarga selepas beliau disahkan menghidap kanser kolon itu sejak empat (4) tahun lalu.

Chadwick, 43, tidak mendedahkan penyakit yang mula dikesan pada 2016 kepada umum dan terus membintangi filem hebat Hollywood.

“Seorang pejuang sejati, Chadwick bertahan mengharungi semua ini dan telah melakonkan banyak filem yang menjadi kesukaan anda.

“Dari Marshall hingga Da 5 Bloods, Ma Rainey Black Bottom dan banyak lagi… semuanya difilemkan di antara kemoterapi dan pembedahan yang dijalani. Ia satu penghargaan dalam kariernya untuk membawakan watak King T’Challa dalam Black Panther,” ujar keluarga Chadwick.

Memetik sumber kenyataan di akaun media sosial Twitter milik Chadwick berkata “Ia adalah penghormatan kepada kariernya untuk membawa watak King T’Challa dalam Black Panther.”

Sumber foto dipetik daripada media sosial Twitter milik Chadwick Boseman…

Chadwick muncul sebagai adiwira kulit hitam pertama dalam filem francais Marvel, Black Panther 2018.

Filem yang berlatar belakang kerajaan fiksyen Wakanda, Afrika menjadi filem komik pertama dicalonkan untuk gambar terbaik dalam Oscar dan meraih lebih AS$1 bilion (RM4.17 bilion) di seluruh dunia.

Pada awal kerjayanya, Chadwick Boseman memegang watak Jackie Robinson dalam filem ’42’ dan James Brown dalam ‘Get on Up’.

Baru-baru ini beliau muncul dalam drama perang, Da 5 Bloods dan bakal muncul dalam sekuel Black Panther dijadualkan pada 2022.