Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali memberi bayangan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan berlaku dalam masa terdekat, sekali gus membuka jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Beliau berkata, tarikh sebenar pembubaran akan diumumkan selepas Ketua Menteri Sabah menghadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, namun perkembangan semasa menunjukkan ia semakin hampir.
“Saya juga maklum ada mesej tular sebut pembubaran akan berlaku pada 3 Oktober. Sama ada 3, 4, 5, 13 atau 23 Oktober, mau-mau sudah ni, dekat-dekat sudah,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Mengulas persediaan jentera pilihan raya GRS, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan bahawa parti gabungan itu berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.
Katanya, sebagai parti tempatan, pemimpin GRS tidak perlu ‘turun padang’ dari jauh kerana mereka sentiasa bersama rakyat di negeri ini setiap masa.
“Insya-Allah, sebaik sahaja Dewan dibubarkan, all system go. Jentera kita di semua peringkat akan mula bergerak untuk menghadapi pilihan raya,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sehingga kini, fokus utama GRS adalah meneruskan kerja sebagai kerajaan negeri bagi menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
Namun, sebaik pembubaran berlaku, fokus akan beralih kepada gerak kerja pilihan raya sepenuhnya.
Datuk Armizan berkata, kempen GRS kepada rakyat akan berteraskan dua komponen penting termasuk, menjelaskan rekod pentadbiran, iaitu pencapaian kerajaan negeri GRS sepanjang lima tahun memerintah Sabah; dan menawarkan hala tuju lima tahun akan datang sekiranya mandat baharu diberikan oleh rakyat.
“Dua komponen ini akan menjadi asas kempen kita kepada rakyat, supaya mereka dapat menilai secara adil dan menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menyeru agar rakyat menilai semua parti politik secara objektif. Katanya, sebahagian besar parti yang akan bertanding pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri atau persekutuan sebelum ini, dan perlu membentangkan rekod pentadbiran masing-masing, bukan sekadar janji baharu.
Armizan turut mengingatkan rakyat agar menilai calon Ketua Menteri yang diketengahkan parti-parti politik berdasarkan prestasi mereka sebagai wakil rakyat.
“Bagi saya, salah satu penilaian penting ialah melihat sejauh mana mereka telah membawa perubahan dan pembangunan di kawasan masing-masing sepanjang berpuluh tahun menjadi wakil rakyat,” tegasnya.
Menurutnya, semua kawasan di Sabah mempunyai potensi besar, namun kemampuan sebenar seseorang pemimpin boleh dilihat daripada sejauh mana mereka berjaya mencungkil potensi tersebut untuk membangunkan ekonomi dan masyarakat setempat.
Armizan optimis bahawa GRS berada pada landasan kukuh untuk menghadapi PRN Sabah yang bakal diumumkan bila-bila masa.
Beliau turut menyindir parti-parti lawan yang menurutnya telah berkempen terlalu awal sehingga “kehabisan modal” dan “terbabas” dalam ucapan mereka.
“Kita pun kesian dengan mereka yang sudah lama bergerak. Tapi bagi GRS, masa untuk kita masuk gelanggang akan tiba tidak lama lagi,” katanya.