KOTA KINABALU, SABAH – Tiga sektor pertumbuhan utama, pertanian, perindustrian dan pelancongan menerima peruntukan sebanyak RM813.56 juta dalam Belanjawan Negeri Sabah 2024.
Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun berkata kerajaan berusaha meningkatkan hasil dan kualiti produk pertanian untuk memastikan tahap sara diri atau self-sufficiency level (SSL) semua bekalan bahan makanan terus meningkat.
“Bagi meningkatkan SSL beras daripada 22 peratus tahun ini kepada 31 peratus pada tahun 2025, kerajaan menubuhkan semula Lembaga Padi Dan Beras Sabah dengan peruntukan sebanyak RM1.82 juta untuk tujuan pengurusan dan pentadbiran.
“Pemulihan tanah sawah terbiar, pembangunan padi tanah kering, penambahan bilangan jentera pembajak dan jentuai, pemberian baja pada kadar optimum serta pemberian subsidi penjualan padi kepada semua pengusaha disediakan peruntukan sebanyak RM5.16 juta.
“Manakala, pemberian Insentif Pembajakan Sawah Padi disediakan dengan peruntukan sebanyak RM18 juta,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2024.
Masidi turut memberitahu kajian terhadap varieti padi yang sesuai ditanam di kawasan sawah padi yang dimasuki air masin khususnya Pantai Timur Sabah akan diteruskan dan teknologi tanaman padi tanah kering juga akan diperkenalkan kepada petani.
Menurutnya, bagi sub-sektor tanaman yang lain, tumpuan akan diberi kepada pelaksanaan pembangunan komoditi tanaman, penyelidikan, pengiktirafan dan persijilan, penguatkuasaan kuarantin, pembangunan modal insan serta usahawan tani.
“Bagi menjadikan Sabah sebagai salah satu hab makanan serantau, satu lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) telah dikenalpasti dan akan dibangunkan di Sungai Lokan, Kinabatangan.
“Ini menjadikan sejumlah 16 TKPM dibangunkan dengan jumlah keluasan 592.87 hektar dan melibatkan seramai 183 peserta.
“Selain itu, Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran sedang menerokai satu bidang baharu penyelidikan iaitu bioteknologi tumbuhan khususnya biologi molekul bagi menghasilkan varieti baharu yang mempunyai tempoh masa matang yang singkat, tahan terhadap serangan penyakit dan mengeluarkan hasil tanaman yang berkualiti,” ujarnya. — JABATAN PENERANGAN SABAH





