KOTA KINABALU, SABAH – Polis meminta seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Rowen Pejuang agar menyerah dirinya.
Rowen telah membangkitkan kemarahan komuniti Muslim di Sabah kerana menghina agama Islam pada awal minggu ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata pihaknya telah mengenal pasti identiti pemilik akaun terbabit.
Menurutnya, tangkap layar muat naik pengguna itu yang telah diviral adalah tindak balas kepada muat naik yang viral sebelumnya.
“Ianya berpunca dari perasaan tidak berpuas hati dengan percakapan kumpulan-kumpulan tertentu.
“Selepas itu wujudnya beberapa kandungan kata-kata yang ditangkap layar untuk dijadikan sebagai satu isu lain.
“Orang awam diingatkan supaya berhenti mempolemikkan isu fitnah dan isu 3R (agama, institusi diraja, bangsa) yang jelas membawa kepada keburukan.
“Rakyat Sabah perlu patuh kepada undang-undang dan menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat ketika menggunakan aplikasi digital,” katanya.
Beliau ditemui wartawan selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Cabaran Kokurikulum Perkhemahan Kor Kadet Polis Negeri Sabah Tahun 2023 di Papar, semalam.
Dalam pada itu, Briged Negaraku Negeri Sabah (BBNS) berpendirian bahawa meminta maaf selepas menghina sesebuah agama tidak mencukupi bagi menghalang perkara itu berlaku sekali lagi.
Pengerusi BBNS, Nurul Fadzilah Noordin berkata jangan kerana pandangan bertentangan akan perang antara Palestin dan Israel menghancurkan keharmonian sedia ada di Sabah.
“Saya berharap dengan tindakan undang-undang pihak berkuasa ke atas mereka di bawah akta bersesuaian mampu beri pengajaran kepada mereka yang menghina mana-mana agama.
“Hentikan provokasi agama di Malaysia dan Sabah khususnya. Saya tahu ramai yang tidak berpuas hati kerana kempen boikot barangan berkaitan Israel.
“Namun begitu, saya bangga dengan kawan-kawan beragama Kristian yang bersolidariti bersama saudara kita di Palestin.
“Kita semua tahu bukan sahaja masjid di bom, malah juga gereja dan hospital,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini, semalam.
Minggu ini sahaja, sebanyak sepuluh badan pertubuhan bukan kerajaan telah masing-masing membuat laporan polis berkenaan isu yang sama.