BEAUFORT: Penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir di daerah Beaufort digesa supaya berpindah lebih awal bagi mengelakkan situasi kritikal yang boleh membahayakan keselamatan diri serta menyukarkan operasi menyelamat.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Ruslan Muharam berkata, gesaan itu dibuat susulan peningkatan semula paras air Sungai Padas meskipun sebelum ini menunjukkan trend penurunan.
Menurutnya, bacaan paras air sungai yang mencecah 9.13 meter pada tengah hari, ditambah keadaan cuaca yang masih mendung dan redup, berkemungkinan menyebabkan banjir berterusan sehingga beberapa hari.
“Kita mengharapkan penduduk di kawasan paras bahaya dan tidak selamat supaya berpindah lebih awal. Jangan tunggu sehingga waktu malam atau ketika jalan sudah tidak dapat dilalui baharu meminta bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon di Beaufort, hari ini.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan menegaskan tindakan berpindah awal amat penting bagi membolehkan pasukan keselamatan dan penyelamat menjalankan operasi dengan lebih cepat, teratur serta selamat tanpa risiko tambahan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata situasi banjir turut dipengaruhi fenomena pasang surut air laut yang berlaku serentak, menyebabkan aliran air sungai ke laut menjadi perlahan dan bertahan, sekali gus menyumbang kepada banjir yang masih berterusan di beberapa kawasan.
Setakat ini, seramai 328 mangsa daripada 118 keluarga dilaporkan terjejas dan ditempatkan di pusat pemindahan yang dibuka di daerah berkenaan.






