Penduduk Sepanggar Jemu Jadi Mangsa Bekalan Air Terputus

Penduduk Sepanggar Jemu Jadi Mangsa Bekalan Air Terputus

0
SHARE
Antara wakil penduduk kawasan Sepanggar yang menggantung sepanduk kerana tidak berpuas hati dengan tiada sebarang tindakan yang diambil Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berhubung masalah air di kawasan mereka...

SEPANGGAR, SABAH – Penduduk di sini yang sudah jemu menjadi mangsa bekalan air putus dan mahukan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Edward Lingkapo, untuk meletak jawatan segera atas kegagalan menyelesaikan masalah berkenaan.

Pelbagai usaha yang telah dilakukukan mereka agar mendapat perhatian pihak berkuasa termasuklah membuat rayuan, liputan media, dan menggantungkan sepanduk.

Namun, usaha-usaha tersebut nampaknya tidak cukup bagi mencapai penyelesaian menyeluruh dari JANS yang seakan-akan tidak mengambil peduli rintihan penduduk kawasan ini.

Seorang penduduk yang enggan dinamakan berkata sudah lima (5) hari berturut-turut beliau tidak mendapat setitik air.

Katanya ada yang lebih bernasib malang kerana terpaksa bertahan berminggu tanpa air.

Difahamkan bahawa masalah tersebut terbit dari kerosakan pam air loji Telibong.

“Perlu rakyat menunggu sehingga berminggu tanpa bekalan air? Jika betul ada kerosakan, pihak JANS sepatutnya ada langkah pencegahan ataupun penyelenggaraan…

“Kepada pengarah JANS, sila letak jawatan kalau tidak mampu memikul tanggungjawab,” katanya.

Beliau turut mendakwa tiada catuan air daripada tangki atau lori air dan sebaliknya penduduk dibiarkan “kering”.

“Apa guna ada Jabatan Air, bagus pecat semua pekerja Jabatan Air itu,” keluh seorang lagi penduduk.

Menurut mereka, masalah air di kawasan itu telah wujud sejak bertahun-tahun, namun situasi semakin keruh sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

Bekalan air paip seorang penduduk yang terpaksa ditadah dan diperoleh dari kawasan lain…

Kebanyakkan daripada mereka sanggup membeli bekalan air mineral berkotak-kotak untuk mengatasi masalah bekalan air. Ada juga yang sanggup menumpang di rumah kawan dan menyewa bilik hotel.

“Walaupun sudah berkali-kali kami mengadu kepada JANS, seolah-olah pihak jabatan melepas tangan dengan masalah yang tidak berkesudahan ini,” kata seorang penduduk.

Katanya, antara alasan yang sering diberikan jabatan itu adalah “juruteknik akan membuat pemeriksaan” atau “penyelenggaraan akan dilakukan” tetapi masalah itu terus berlarutan tanpa sebarang tindakan.