Penerbangan Ke Sarawak Akan Ditingkatkan Secara Berperingkat Mulai 1 Oktober Ini

Penerbangan Ke Sarawak Akan Ditingkatkan Secara Berperingkat Mulai 1 Oktober Ini

0
SHARE
Gambar Hiasan...

KUCHING, SARAWAK – Penerbangan ke Sarawak akan ditingkatkan secara berperingkat daripada 22 penerbangan seminggu kepada 87 penerbangan seminggu mulai 1 Oktober ini, demikian menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan malam tadi membuat keputusan itu dalam mesyuarat minggu lepas yang melibatkan penerbangan dari Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Baharu, Labuan dan Singapura, ke beberapa destinasi seperti Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Keputusan dibuat selepas mengambil kira pembukaan sektor pelancongan negeri secara beransur, tambang penerbangan yang tinggi, permintaan orang ramai untuk kelonggaran sekatan perjalanan, dan pengenalan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang menyaksikan kuarantin dikecualikan kepada penumpang yang lengkap vaksinasi dari dalam negara,” katanya.

Tambah beliau, kementeriannya akan mengadakan mesyuarat dengan semua syarikat penerbangan dan pihak berkuasa penerbangan, pejabat residen bahagian, dan Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji perincian serta pelaksanaan lancar jadual penerbangan baharu.

“Dengan penambahan kekerapan penerbangan ke Sarawak, kita jangka jumlah penumpang dan pergerakan orang ramai dalam Sarawak akan meningkat bermula bulan hadapan. Saya ingin mengingatkan semua penumpang supaya mematuhi dengan rapi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan JPBN bagi menyekat penularan Covid-19 dalam negeri ini,” tambahnya lagi.