Penganggur Miliki 33 Rekod Jenayah Dan Dadah Diberkas

Penganggur Miliki 33 Rekod Jenayah Dan Dadah Diberkas

0
SHARE

TAWAU: Polis memberkas dua orang suspek lelaki selepas memecah masuk sebuah kedai runcit di kawasan Balung, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, laporan Polis telah dibuat pemilik seorang wanita berusia 39 tahun kira-kira pukul 10.35 pagi 26 April yang lalu.

“Mengikut laporan yang dibuat, ketika mangsa hendak membuka kedai mangsa mendapati pintu kedai telah terbuka, pemeriksaan dalam kedai tersebut mendapati beberapa barangan milik mangsa serta wang tunai telah hilang dicuri.

“Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan pegawai dan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah memberkas seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun dipercayai merupakan suspek, di sekitar kawasan Jalan Tanjung Batu, Tawau.

“Pada masa yang sama, pihak polis berjaya memberkas seorang lagi suspek warga tempatan berusia 19 tahun di sekitar pasaraya Hilltop, Jalan Utara dan turut dirampas daripada suspek sebuah telefon bimbit jenis Samsung kerana disyaki terlibat dengan kes yang disiasat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil semakan rekod lampau kedua-dua suspek mendapati seorang suspek di antaranya mempunyai 33 rekod kesalahan jenayah lampau di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 termasuk di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Suspek dibawa ke hadapan Majistret Tawau untuk permohonan tahanan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambahnya, Polis Tawau sedang mempergiatkan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan dadah dari masa ke masa dengan operasi yang lebih agresif.

Sementara itu, ACP Jasmin menyeru masyarakat di Daerah Tawau khususnya agar dapat menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah termasuk di kalangan ahli keluarga, jiran dan warga sekampung yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.