Hakim Terkhilaf Bebaskan Bung Moktar Dan Isteri Daripada Kes Rasuah RM2.8 Juta

Hakim Terkhilaf Bebaskan Bung Moktar Dan Isteri Daripada Kes Rasuah RM2.8 Juta

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memberikan tujuh alasan dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membabitkan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Timbalan Ketua Pendakwa Raya, Law Chin How berkata, hakim tersilap dari segi undang-undang dan fakta dalam melaksanakan bidang kuasa apabila membebaskan pasangan tertuduh selepas Mahkamah Sesyen memberi pertimbangan maksimum terhadap maklumat semasa kes perbicaraan.

Katanya lagi, kesilapan turut dilakukan sekiramya tidak merujuk kepada alasan penghakiman penuh dan rekod prosiding Mahkamah Sesyen berhubung kenyataan saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25 (SP24 dan SP25) iaitu Public Mutual Ejen pelaburan Berhad, Madhi Abdul Hamid, dan perunding unit, Norhaili Ahmad Mokhtar.

“Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid terkhilaf apabila gagal menimbangkan bahawa tiada ketidakadilan dikenakan terhadap responden Bung Moktar, 67 dan Zizie Izette, 47 dalam keputusan prima facie oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob. 

“Beliau berpandangan bahawa keputusan prima facie bukanlah keputusan muktamad bagi kesalahan yang didakwa terhadap responden.

“Azhar melakukan kesilapan apabila bertindak menilai semula kenyataan SP24 dan SP25 dalam menjalankan bidang kuasa mengikut Seksyen 325 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya dalam petisyen rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu.

Pada 7 September 2023, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan kedua tertuduh selepas membenarkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan untuk membela diri sementara pendakwaan memfailkan rayuan pada 18 September tahun yang sama.

Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala isterinya didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.