Pentas Barbarik Live @ Odeon KL ‘Pecah’, Ribuan Peminat Gegarkan Malam Rock

Pentas Barbarik Live @ Odeon KL ‘Pecah’, Ribuan Peminat Gegarkan Malam Rock

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ribuan peminat membanjiri Odeon Kuala Lumpur seawal jam 5 petang kelmarin bagi menyaksikan Pentas Barbarik Live @ Odeon KL, sekali gus menjadikan konsert berkenaan antara acara rock paling hangat tahun ini apabila kumpulan Barbarik kembali menawan pentas dengan persembahan penuh tenaga dan emosi.

Konsert anjuran Rockstation Event & Entertainment itu menyaksikan Barbarik yang dibarisi Muss, Jo Branko, Rozaimi dan Ainol mempersembahkan deretan lagu bertenaga yang disambut sorakan padu penonton, sehingga ruang Odeon seolah-olah ‘pecah’ dengan lautan hitam simbol kesetiaan peminat yang dikenali sebagai Rejim Barbarik.

Persembahan dimulakan dengan “Peluru Cokelat” yang mencetuskan ledakan awal menerusi dentuman dram, riff gitar agresif serta vokal Muss yang mentah dan beremosi. Kualiti sistem audio yang seimbang memastikan setiap lapisan bunyi disampaikan dengan jelas sepanjang konsert.

Momentum diteruskan menerusi lagu-lagu seperti “Hidup Sederhana”, “18000 Sayap”, “Hati Sulam Lain”, “Kasmaran”, “GG Gemurah” dan “Krisis Dipertengahan” yang menyaksikan pit penonton bergelora dengan tenaga tanpa henti.

Konsert semakin emosional apabila lagu “Opera Hidup” dipersembahkan dengan kemunculan istimewa Black dan Eddie, disusuli “Gelap Nan Terang”, “Jerangkung Dalam Almari” serta set medley SS yang mengundang nostalgia peminat lama. Kemunculan Mel menerusi lagu “Semalam Yang Hangat” dan duet “Sendiri” bersama Muss menjadi antara kemuncak malam tersebut.

Persembahan ditutup dengan “Nasib Baik” dan “Keris Tak Ada Sarung”, meninggalkan impak kuat kepada penonton sebagai simbol perjuangan muzik Barbarik yang keras, jujur dan tanpa kompromi.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan konsert, pihak penganjur dan pengurusan Odeon KL menerima beberapa kritikan berkaitan pengurusan kemasukan penonton. Susulan itu, satu kenyataan rasmi dikeluarkan pada 13 Disember 2025 bagi memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

Pihak penganjur memaklumkan bahawa persiapan terbaik telah dilakukan, namun situasi di luar jangkaan menyebabkan beberapa kelemahan operasi. Mereka turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kawalan keselamatan serta kepada peminat yang hadir memberikan sokongan penuh.

Rockstation Event & Entertainment turut memberi jaminan akan menambah baik aspek penganjuran pada masa hadapan, selain menyatakan komitmen untuk menjadikan Odeon KL sebagai hab acara merangkumi konsert, seni persembahan dan platform kebudayaan secara lebih sistematik.

Secara keseluruhan, Pentas Barbarik Live @ Odeon KL membuktikan Barbarik kekal relevan sebagai entiti muzik yang berani menyuarakan realiti dan terus mendapat tempat istimewa dalam landskap rock tempatan.