Penyakit HFMD Naik Mendadak, Ibu Bapa Dan Guru Tadika Digesa Jaga Kebersihan

Penyakit HFMD Naik Mendadak, Ibu Bapa Dan Guru Tadika Digesa Jaga Kebersihan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ibu bapa dan pengusaha pusat jagaan kanak-kanak digesa untuk menjaga kebersihan susulan peningkatan jangkitan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) yang berlaku sejak awal 2022 di negeri Sabah.

Sehingga 16 Mei 2022, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan sebanyak 2,834 kes penyakit HFMD.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, ia merupakan peningkatan yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan 55 kes yang dilaporkan dalam tempoh masa yang sama pada tahun 2021.

“Lima (5) daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Tawau (435 kes), Sandakan (387 kes), Lahad Datu (308 kes), Kota Belud (244 kes) dan Papar (229 kes).

“Sebanyak 93 peratus kes adalah kanak kanak yang berumur kurang dari 6 tahun. Transmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah persendirian atau pusat pendidikan awal,” katanya.

Penyakit HFMD adalah penyakit yang kebiasaannya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 10 tahun di mana lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut.

Ianya disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus) yang merebak dari individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti.

Kanak-kanak di bawah umur 5 tahun adalah golongan yang paling mudah dijangkiti dan HFMD selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama. Tidak ada kematian disebabkan oleh HFMD dilaporkan setakat ini.

Rose berkata antara langkah-langkah yang sedang dijalankan oleh pihak JKNS adalah siasatan segera ke atas kes-kes yang dilaporkan selain menjalankan promosi kesihatan dan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis yang berisiko.

“Premis terjejas juga akan diarah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk kerja-kerja pembersihan premis bagi memutuskan rangkaian jangkitan.

“Peranan ibubapa dalam pencegahan HFMD adalah memastikan untuk kerap membasuh tangan khususnya semasa mengendali makanan dan selepas menggunakan tandas.

“Cuci dan disinfeksi bilik air, mainan dan barang lain yang disentuh anak dengan sabun dan air atau menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Jangan berkongsi cawan minum, peralatan makanan atau barangan peribadi seperti tuala dan berus gigi…

“Elakkan memeluk dan mencium anak yang dijangkiti dan bawa anak yang mempunyai tanda dan mengalami gejala jangkitan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Antara gejala HFMD ialah demam, ulser pada tekak, mulut dan lidah, ruam dengan lepuh pada tapak tangan dan kaki, sakit kepala dan hilang selera makan.