Penyeludup Dadah Nekad Terjun Laut Elak Ditangkap Polis Marin Sabah

Penyeludup Dadah Nekad Terjun Laut Elak Ditangkap Polis Marin Sabah

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Tiga (3) orang penyeludup dadah nekad terjun ke laut untuk mengelak diri ditangkap Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perkampungan atas air Hidayat, di sini semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, DSP Mohd Nazari Ismail berkata rondaan dan pemantauan oleh pasukan Unit Gempur Marin dan Unit Risikan Marin di kawasan tersebut telah mengesan dan menghampiri dua (2) buah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa menghampiri bot untuk diperiksa kira-kira pukul 8.42 malam, kelihatan tiga (3) orang telah bertindak terjun ke laut dan melarikan diri meninggalkan bot mereka…

“Pemeriksaan awal ke atas bot telah menjumpai sebuah beg berwarna biru hitam dan terdapat lima bungkusan hitam pelbagai saiz,” katanya.

Bot berkenaan telah di tunda dan dibawa ke Markas Operasi Polis Marin Tawau untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan bot, beg dan barang-barang berkenaan mendapati bungkusan mengandungi plastik lutsinar disyaki ketulan dadah jenis syabu yang berat dianggarkan 4.3 kilogram,” tambah Nazari.

Turut dirampas sebuah bot fiber bersama enjin 200hp dan sebuah perahu kayu bersama enjin 15hp berserta dadah disyaki ketulan syabu dianggarkan bernilai RM426,725.00.

Kes akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau dan disiasat dibawa seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.