
KOTA KINABALU, SABAH – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berjaya menganjurkan 25 program peningkatan kemahiran dan profesionalisme penggiat industri kreatif di Borneo sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifudin Mutalib berkata FINAS melalui Unit Latihan Industri, Bahagian Pembangunan Industri telah melaksanakan pelbagai program pembangunan modal insan di negeri Sabah dan Sarawak merangkumi pelbagai bengkel latihan.
“FINAS akan terus komited mengadakan lebih banyak program pembangunan modal insan berkualiti di negeri Sabah dengan harapan akan dapat melahirkan penggiat industri kreatif yang berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Hari ini menyaksikan perkembangan positif dalam penerbitan karya kreatif bukan sahaja filem cereka malahan mencakupi aspek seni kreatif yang lain seperti penerbitan drama, telemovie, filem pendek dan sebagainya.
“Hasrat FINAS untuk melahirkan lebih banyak pengkarya seni kreatif tempatan terhasil memandangkan kini banyak hasil seni anak muda kita lebih ke hadapan dari sudut pemikiran dan falsafah yang terkandung di dalam sesebuah karya,” katanya semasa merasmikan Golden Win Awards (GoWA) 2023.
Pada majlis tersebut, filem pendek Anak Kampung merangkul RM10,000 setelah dinobatkan sebagai johan Kota Kinabalu Film & Video Association (KKFVA) 3rd GoWA.
Filem tersebut turut memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Harapan menerusi lakonan Max Brandon manakala Pengarah Anak Kampung, Saiful Zwan terpilih sebagai Pengarah Harapan Terbaik.
Azmir menzahirkan harapannya agar penganjuran anugerah tersebut mampu mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda khususnya bagi komuniti kreatif di Sabah, amnya golongan pelajar sekolah dan universiti.
“Bertemakan ‘Negeri Di Bawah Bayu’, GoWA diharap dapat menjana pemikiran, melahirkan bakat kreatif yang luar biasa sekaligus berkongsi rasa dan pengalaman bagi membawa industri kreatif tempatan setanding dengan industri perfileman antarabangsa,” ujarnya.
GoWA memasuki tahun ketiga penganjurannya sejak kali pertama diadakan pada 2018 merupakan satu anugerah terpenting buat karyawan tempatan di Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH