Siapakah Yang Mempunyai Kuasa Eksekutif Dan Kata Putus Terakhir Di Dalam Pakatan...

Siapakah Yang Mempunyai Kuasa Eksekutif Dan Kata Putus Terakhir Di Dalam Pakatan Harapan?? – Dr Salleh

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mempersoalkan siapakah yang mempunyai kuasa eksekutif dan kata putus terakhir dalam pembuatan keputusan di dalam Pakatan Harapan.

Ini adalah kerana antara tiga jawatan tertingginya—Ketua Umum, Pengerusi dan Presiden, tidak dinyatakan siapakah yang mempunyai kuasa eksekutif. Pengumuman senarai kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan semalam  menimbulkan tanda tanya berhubung tiga jawatan tertinggi pakatan itu.

Dr Salleh turut mempersoalkan, kenapa DAP tidak memegang salah satu jawatan tertinggi di dalam Pakatan Harapan, sedangkan DAP mempunyai bilangan Ahli Parlimen terbanyak dalam Pakatan ini? , apakah DAP dipinggirkan atau ini disengajakan supaya pakatan ini dilihat sebagai didominasi oleh orang Melayu ?

Pakatan Harapan sebelum ini mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang diterajui Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim  (PKR-ketua umum), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-presiden).

Pakatan itu turut menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) sebagai timbalan presiden.

Biar apapun strategi pakatan pembangkang, beliau berkata kemunculan pakatan pembangkang tidak sama dengan Barisan Nasional (BN) yang telah teruji menerusi kerjasama parti komponen pelbagai  kaum dan sikap tolak ansur pemimpinnya tanpa mengabaikan prinsip-prinsip parti.

Salleh berkata sebaik sahaja mengumumkan barisan baharu kepimpinannya, pakatan pembangkang telahpun memberikan janji politik yang hendak dilakukan dalam tempoh 100 hari setelah berkuasa.

Tegasnya, adalah lebih baik bagi pakatan pembangkang menamakan dahulu perdana menteri pilihan mereka berbanding membuat janji.

“Pelik rasanya apabila ditanya hal ini oleh pemberita, pengerusinya menjawab: “Kita isytiharkan perdana menteri kelapan dahulu. Perdana menteri ketujuh kita tentukan kemudian”.

“Dengan barisan kepimpinan pakatan pembangkang yang sebegini, bolehkah kita memberi kepercayaan kepada mereka untuk menerajui Negara?  Tentunya tidak kerana masa depan negara bukanlah untuk diperjudikan,” katanya.