KOTA KINABALU – Seorang lelaki berjaya ditahan semasa meragut dompet pegawai bank di belakang sebuah restoran berdekatan Gaya street di sini.
Memetik laporan portal online Suara Sabah, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, kejadian berlaku jam 1.21 petang Rabu apabila mangsa berumur 33 tahun bersama rakannya makan tengah hari.
“Apabila mangsa melalui lorong kecil yang bersebelahan dengan restoran makanan Barat itu, suspek secara tiba-tiba meluru ke arah mangsa sebelum meragut dompet yang dipegang di tangan kanannya.
“Suspek segera melarikan diri menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong dan berusaha mengejarnya bagaimanapun gagal mengejar suspek,” katanya.
Chandra berkata pada masa sama sepasukan pegawai kanan dan anggota polis yang kebetulan berada di lokasi kejadian mendengar jeritan mangsa.
“Anggota terbabit kemudian mengejar suspek dan tindakan pantas berjaya menahan suspek berdekatan sebuah restoran di Segama.
“Suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, beberapa barangan milik mangsa termasuk dompet berwarna hijau jenama Coach mengandungi dokumen dan wang tunai berjaya dirampas semula daripada suspek.
Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga 16 Ogos untuk disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Anggota terbabit kemudian mengejar suspek dan tindakan pantas berjaya menahan suspek berdekatan sebuah restoran di Segama.