Pertubuhan Hardy Malaysia santuni 200 keluarga asnaf di Tuaran

Pertubuhan Hardy Malaysia santuni 200 keluarga asnaf di Tuaran

0
SHARE

TUARAN: Seramai 200 keluarga asnaf dan golongan memerlukan di Kampung Kindu dan Kampung Tajau di sini menerima sumbangan bakul makanan menerusi Misi Ziarah Kasih anjuran Pertubuhan Hardy Malaysia.

Pengarah Operasinya, Nur Syafiqah Zainal Abidin berkata, misi kebajikan itu bertujuan mendekati masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan bantuan bagi meringankan beban kehidupan seharian.

Menurutnya, penerima bantuan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal serta keluarga yang mempunyai tanggungan anak ramai.

“Kami memahami setiap keluarga mempunyai ujian dan cabaran kehidupan berbeza. Ada yang berdepan kekangan kewangan, membesarkan anak-anak sendirian serta warga emas dan golongan OKU yang memerlukan sokongan untuk meneruskan kehidupan.

“Walaupun sumbangan bakul makanan ini mungkin tidak seberapa nilainya, kami berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan dapur dan memberikan kelegaan kepada keluarga penerima,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, misi berkenaan bukan sekadar menyampaikan bantuan berbentuk barangan keperluan, sebaliknya menjadi platform untuk mendekati masyarakat dan memahami keadaan golongan yang memerlukan.

Katanya, kerjasama Team Amal Kazuko dan MyFundAction turut membantu memastikan pelaksanaan misi kebajikan itu berjalan lancar.

Operasi misi berkenaan turut dibantu Kapten (B) Mohd Ammar Afi Lokman sebagai Timbalan Pengarah Program.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Federal Power Sdn Bhd, Datuk Seri Hisham Abdul Wahab, manakala Komander Team Amal Kazuko, Datin Seri Intan Abdul Hamid turut bersama menyantuni masyarakat setempat.

Misi itu turut mendapat sokongan kepimpinan Pertubuhan Hardy Negeri Sabah yang diketuai Nur Jamaliyah Mohd Jamaluddin serta pasukan logistik negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Nur Syafiqah merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Federal Power Sdn Bhd, APZG dan Mohd Chan Restaurant atas sumbangan serta sokongan bagi menjayakan program berkenaan.

“Semoga setiap bakul makanan yang disampaikan menjadi asbab keringanan buat keluarga penerima dan membawa sedikit kegembiraan kepada mereka.

“Kami mungkin tidak mampu mengubah keseluruhan kehidupan mereka, namun berharap sumbangan kecil ini dapat memberikan kelegaan serta menyuntik semangat untuk terus menghadapi kehidupan,” katanya.