KENINGAU, SABAH – Percubaan seorang wanita positif COVID-19 untuk melarikan diri dari Hospital Keningau di sini gagal dan hanya tamat pada belebas tingkat satu bangunan berkenaan, awal pagi hari ini.
Difahamkan wanita 24 tahun itu baru sahaja dimasukkan ke wad kuarantin hospital sehari yang lalu.
Pasukan Bomba daerah terpaksa dipanggil bagi menurunkan beliau setelah menerima panggilan kecemasan dari pihak hospital pada jam 6.14 pagi.
Ketua Balai Bomba Keningau, PKPgB Sharudy Delamin berkata, beberapa palang besi sebuah bilik jentera terpaksa dicabut bagi memastikan keselamatan mangsa.
“Pada awalnya pihak hospital berkata ianya percubaan bunuh diri tapi jika itu betul mangsa tidak akan bergayut dan sebaliknya akan berada di kawasan tepi tingkap sahaja…
“Mangsa dipercayai pada mulanya keluar dari tingkap dan cuba turun melalui tepi bangunan tetapi terperangkap di situ dan tindakannya mula disedari orang ramai,” katanya.
Sharudy berkata lagi, seorang doktor hospital berkenaan telah mendedahkan mangsa mengalami gangguan mental.
Mangsa berjaya diturunkan menggunakan tangga denga bawah pengawasan anggota bomba dari setiap sisi pada pukul 7.20 pagi dan operasi ditamatkan 19 minit selepas itu.