KOTA KINABALU, SABAH – Bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap Datuk Peter Anthony menolak tawaran menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Sebaliknya beliau dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim akan meruskan halatuju politik dengan sebuah parti berasaskan Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) yang ditubuhkan.
“Terima kasih atas kepercayaan dan pelawaan itu tetapi kami sudah menubuhkan parti politik yang akan menjadi landasan untuk kami sama-sama menyumbang kemajuan Sabah…
“Parti baharu ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata Peter dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

Dalam pada itu, Peter mengalu-alukan kesatuan pemimpin KDMR dan percaya gabungan parti tempatan akan menjadi pilihan rakyat Sabah sebagaimana yang berlaku dalam pilihanraya di Sarawak baru-baru ini.
“Sebenarnya, usaha kami sekarang juga adalah permulaan dalam menyatukan semua pemimpin KDMR yang selama ini terpisah dengan fahaman politik masing masing…
“Kami akan terus berbincang untuk dapatkan satu solusi penyatuan bukan sahaja dikalangan permimpin politik KDMR tetapi semua pemimpin Sabah,” kata Peter.
Menurutnya, sudah sampai masanya untuk semua berpadu dan bersama dalam satu gabungan yang fokus kepada kemajuan Sabah.
“Marilah kita berganding bahu…yang lepas tu lepaslah. Fokus kepada kemajuan Sabah. Kita berusaha dan berdoa agar menerusi ‘pisompuruan’ (kesatuan), Sabah akan maju jaya,” ujarnya.





